KANGAR 16 Nov. - Seekor kucing yang terperangkap 13 hari di atas pokok kelapa setinggi kira-kira 20 meter akibat banjir awal bulan ini, diselamatkan seorang pemetik kelapa di Kampung Alor Merus, Behor Latih di sini hari ini.
Pemetik kelapa itu, Ibrahim Osman, 52, mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memanjat pokok itu dan menurunkan kucing yang dinamakan Bong selepas usaha menyelamat oleh pihak Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tidak berhasil.
Bomba serta JPAM tidak dapat menurunkan kucing itu kerana tangga yang dimiliki tidak cukup panjang untuk membolehkan anggotanya sampai ke pucuk pokok kelapa itu bagi menurunkan kucing berkenaan.
Pemilik kucing tersebut, Zakri Mat, 36, memberitahu, Bong hilang selepas dua hari banjir melanda Perlis pada 3 November lalu.
Menurutnya, pada mulanya dia menyangka Bong sudah mati dihanyutkan banjir, namun tiga hari lepas dia ternampak kucing itu di atas pokok kelapa berhampiran rumahnya.
Katanya, selepas dipujuk kucing betina itu enggan turun dan dia membiarkan Bong di atas pokok itu dengan harapan ia akan turun sendiri.
Bagaimanapun, jelasnya, hari ini dia nampak Bong masih ada di atas pokok kelapa itu lalu memanggil pasukan bomba dan JPAM untuk menurunkannya kerana khuatir binatang itu akan mati kelaparan.
"Bagaimanapun tangga yang dibawa anggota bomba dan JPAM tidak cukup tinggi untuk sampai ke pucuk pokok kelapa itu lalu kami terpaksa mendapatkan khidmat Ibrahim yang merupakan pemetik kelapa di kampung ini untuk menurunkan Bong," katanya.
Jelasnya, Ibrahim yang merupakan pesara tentera memanjat pokok itu dan memasukkan Bong ke dalam beg plastik untuk menurunkannya.
Beberapa meter sebelum sampai ke pangkal pokok kelapa, Bong yang ketakutan terjun ke tanah lalu menghilangkan diri.
Kucing itu yang kelaparan kemudian ditemui bersembunyi di tepi rumah Zakri lalu diberi makan.
Semasa terperangkap di atas pokok itu, Zakri percaya Bong menghilangkan dahaga dengan meminum air hujan yang bertakung di celah pelepah kelapa untuk membolehkannya terus hidup.
No comments:
Post a Comment